KUALA LUMPUR 28 April -Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan sebelum ini mahu memberi fokus melahirkan kemenjadian murid sebagai salah satu aspirasi untuk memacu negara di masa akan datang.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, aspirasi tersebut penting bagi membentuk pelajar yang mempunyai kemahiran menyeluruh dalam sistem pendidikan.
Kata beliau, selain itu, aspirasi tersebut juga penting dalam usaha melahirkan institusi pendidikan berprestasi tinggi di negara ini.
"Masyarakat mahu melihat kualiti daripada guru dan mahu perancangan pendidikan daripada peringkat awal sehingga ke peringkat univerisiti.
"Apa yang penting semua perlu berperanan lebih-lebih lagi golongan guru untuk menjadi lebih daripada itu. Peranan warga pendidik amat penting dalam memastikan kejayaan transformasi membentuk generasi membangunkan negara menjelang tahun 2050," katanya dalam Dialog TN50 Guru Muda 1Malaysia Memacu Masa Depan Pendidikan Negara di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam tadi.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut hadir dan bertindak sebagai moderator dialog yang dihadiri lebih 500 belia dan guru muda dari seluruh negara itu.
TN50 yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilancarkan di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, dasar pendidikan negara yang diwujudkan sebelum ini tidak akan berubah dan hanya melibatkan program bagi memastikan aspirasi tersebut dapat dicapai.
Sementara itu, Khairy berkata, dua Guru Muda 1Malaysia akan menyertai Pakar Subjek Kumpulan Masa Depan TN50 sekali gus, akan terlibat dalam pengkajian cadangan memartabatkan bidang pendidikan.
Ketika ini, Kumpulan Masa Depan TN50 dianggotai 10 anggota belia dan tiga pakar subjek, yang akan melihat dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai topik utama berkaitan TN50. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kemenjadian-murid-fokus-tn-50-dalam-aspek-pendidikan-1.475027#ixzz4fX93uDWo
© Utusan Melayu (M) Bhd
