KUALA LUMPUR 24 April - Daulat Tuanku! Sultan Muhammad V hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV untuk memerintah Malaysia bagi tempoh lima tahun.
Istiadat Pertabalan di Istana Negara mengikut warisan Kesultanan Melayu itu adalah bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia telah mempunyai ketua negara yang baharu berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan.
Sultan Muhammad V, 47, sebelum ini melafaz sumpah memegang jawatan itu, pada 13 Disember lepas, bagi menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada tarikh tersebut.
Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan sistem penggiliran pemerintahan itu adalah satu-satu yang seumpamanya di dunia.
Istiadat pertabalan itu disaksikan kira-kira 800 orang tetamu termasuk Raja-raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut menyaksikan acara gilang-gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Tiupan serunai diiringi paluan gendang oleh Pasukan Gendang Besar D’ Raja Kelantan yang memainkan lagu ‘Raja Bertabal’ berkumandang di dalam Balairung Seri, Istana Negara, sebaik sahaja Sultan Muhammad V menyempurnakan lafaz ikrar Yang di-Pertuan Agong XV.
Ia disusuli dengan laungan ‘Daulat Tuanku!’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara Mej. Jen. (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah dan disahuti para hadirin di dalam Balairung Seri yang diadakan dengan penuh adat istiadat kebesaran Raja-raja Melayu.
Sejurus laungan itu, lagu 'Negaraku' dimainkan oleh Pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia dan berserentak dengan itu tembakan meriam sebanyak 21 das.
Surat Pengisytiharan pertabalan dibacakan Perdana Menteri dan kemudiannya diikuti bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap Seri Paduka untuk mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan Seri Paduka sebagai mewakili kerajaan dan rakyat.
Sultan Muhammad V kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abd. Aziz Che Yacob membacakan doa selamat.
Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Oktober 2016, bagi tempoh lima tahun. – BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pertabalan-penuh-istiadat-warisan-kesultanan-melayu-1.473524#ixzz4fEvtTU2Y
© Utusan Melayu (M) Bhd
